Wednesday, May 30, 2007

Moyang ku Muhammad Jabar Hj Abdul Kadir



Tarikh lahir moyang ku memang tidak diketahui kerana tiada rekod mengenainya. Tetapi fakta yang diketahui umum nenek moyang beliau nerasal dari daerah Teluk Betung, Negeri Rao di Sumatera Barat, di mana Nenda beliau adalah seorang Pembesar di situ. Akibat dari sistem ‘matrilineal’ yang teradat di daerah tersebut, ayahanda beliau Haji Abdul Kadir (ketika itu bernama Rinjam sebelum menunaikan fardhu haji dan menukarkan nama) bersama kekanda kandungnya Haji Abdul Majid (nama asalnya Jinjam yang juga ditukar setelah menunaikan fardhu haji) telah meninggalkan kampong halaman mereka di Teluk Betung. Hj Abdul Majid akhirnya telah sampai ke Semenanjung dan berkampung halaman di Sg Jahit, dalam Mukim Dong, sementara adiknya Hj Abd Kadir ke Pulau Nias di barat Pulau Sumatera Hj Abdul Kadir telah berkahwin dengan putri Pembesar daerah Gunoung Sitoli. Perjodohan ini menghasilkan tiga orang anak – dua lelaki iaitu Muhammad Jam dan Muhammad Jabar, dan seorang anak perempuan.

Muhammad Jam dan Muhammad Jabar telah dihantar bersekolah oleh orangtua mereka ke Tanah Besar Sumatera, yang tua, Muhammad Jam, ke sekolah Belanda di Tapaktuan, ibu negeri Tapanuli Barat, dan yang kedua Muhammad Jabar ke sekolah anak negeri di Sibolga, yang mana kemudiannya menjadi ibu negeri. Muhammad Jam terus melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Raja (umpama Kolej Melayu Kuala Kangsar di zaman Inggeris) di Fort de Kock yang mana sekarang adalah Bukit Tinggi di Sumatera Barat. Setelah lulus beliau telah dilantik menjadi guru sekolah Belanda, Holland Inlands School, mula-mulanya di Kotaradja yang mana sekarang di kenali sebagai Banda Acheh, ibu negeri Propinsi Acheh, bertukar ke Permatang Siantar di Tapanuli Tengah dan seterusnya ke Sibolga.

Mengenai Muhammad Jabar tiada pula disebut beliau mengikut abangnya ke Sekolah Raja mahupun mengajar di sekolah Belanda. Ayah mereka, Hj Abdul Kadir, setelah kematian ibu mereka di Gunong Sitoli telah meninggalkan Nias untuk pergi ke Semenanjung mencari abangnya Hj Abd Majid, di Sungai Jahit. Secara kebetulan abang beliu itu telah juga meninggal dunia dan Hj Abdul Kadir telah mewarisi segala harta peninggalan abangnya. Semasa beliau bermaustatin di Sungai Jahit itulah anaknya Muhammad Jabar datang tinggal bersama dengannya.

Tiada pula yang tahu tahun berapakah sebenarnya beliau berhijrah kesini. Hal yang pasti beliau telah menikahi seorang gadis tempatan bernama Nadiah. Beliau juga telah dilantik menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Dong pada tahun 1901 yang mana pada masa itu mengunakan bangunan Balai Penghulu Dong (bangunannya telah dirobohkan untuk menempatkan kompleks kedai di Jalan Ulu Dong). Beliau kekal sebagai Guru Besar daripada tahun 1901 sehingga beliau bersara pada thaun 1925. Dimana sebelum beliau bersara beliau telah ditempatkan sebagai Guru Pelawat di Pekan, Pahang.

Setelah bersara beliau terus menetap di Dong dan kemudian berpindah ke Kampung Gali dan tinggal disana sehingga tahun 1943. Beliau balik tinggal semula di Dong sehingga akhir hayatnya setelah kematian isteri beliau. Beliau telah kembali kerahmahtullah pada bulan Ogos 1943 bersamaan Showa 2603 mengikut kalendar Jepun ketika itu.

Moga-moga Allah menempatkan roh moyang ku ini bersama mereka yang bertaqwa.

No comments: